Drama Anugerah Cinta Aisyah

Anugerah Cinta Aisyah


Drama bersiri 13 episod Anugerah Cinta Aisyah menampilkan lakonan Ruhainies, Idris Khan, PU Rizz dan Hanna Aqeela. Disiarkan mulai mulai 8 Mei, setiap hari, pukul 10.00 malam di TV Okey saluran 109.

JUDUL : ANUGERAH CINTA AISYAH
EPISOD : 13 episod
TARIKH TAYANGAN : 8 Mei 2019
WAKTU SIARAN : Isnin-Ahad, 10:00 malam
SIARAN TV : TV Okey 109 (RTM)
PENULIS SKRIP : Syed Mohamad Taufik
PENGARAH : Khairul Anwar
PRODUKSI : Zeel Production
PELAKON : Ruhainies, Idris Khan, PU Rizz (Haris Ismail), Hanna Aqeela, Lydia Saimon, Puteri Khareeza, Ali Reza, Aidit Noh

WATAK PELAKON
Ruhainies sebagai Aisyah 
Idris Khan sebagai Zahrin
Haris Ismail sebagai Syazwan 
Hanna Aqeela sebagai Nadihah
Ali Reza sebagai Andre
Puteri Khareeza sebagai Serena

SINOPSIS ANUGERAH CINTA AISYAH
Mengisahkan Aisyah graduan dari Mesir dan bertugas sebagai ustazah guru sandaran sekembalinya ke Malaysia. Aisyah kemudian mengambil alih tugas ayahnya, Ustaz Saleh menggantikan tempatnya mengajar agama di rumah Dato’ Khaleed dan Datin Zariah. Mereka pernah ‘hanyut’ dan berhasrat untuk kembali bertaubat. Anak mereka, Zahril bersikap liar dan mempunyai teman wanita bernama Serena, penyanyi di kelab.

Sementara itu Aisyah sebenarnya menunggu kepulangan Syazwan, kekasihnya ketika mereka belajar bersama di Mesir dan berjanji akan berkahwin dengannya. Sikap liar Zahril ditegur oleh ayah ibunya yang mahukannya bertaubat. Ibunya meminta Zahril memutuskan hubungannya dengan Serena. Situasi tersebut telah mencetuskan konflik dalam keluarga Dato’ Khaleed.

Kedatangan Aisyah disambut mesra oleh Datin yang sukakan keperibadian Aisyah dengan ciri-ciri gadis muslimah. Serena mula bertekak dengan Zahril yang tidak menyokong tawaran nyanyian yang diterimanya ke Budapest. Perbalahan Zahril dengan ayah dan ibunya berterusan ditambah dengan kehadiran Aisyah yang tidak disukainya.

Perbalahan tercetus kerana keluarganya melarang Zahril menemani Serena ke Budapest bagi mengembangkan karier nyanyiannya. Serena meneruskan niatnya ke Budapest dan meninggalkan Zahril yang kecewa dengan keputusan Serena. Aisyah menasihati Zahril sebaliknya ia menaikkan lagi kemarahan Zahril padanya. Selepas insiden tersebut, Zahril mula membenci Aisyah dan akan bertekak apabila mereka bertemu di rumahnya.

Syazwan tiba di Malaysia setelah menamatkan pengajiannya di Mesir. Mak Yan, ibunya merancang menjodohkan Syazwan dengan Nadihah, sepupu yang menumpang di rumahnya. Nadihah sememangnya menyintai Syazwan. Datin meminta bantuan Aisyah untuk cuba mengubah sikap Zahril yang membuatkannya serba salah.

Zahril memberi amaran kepada Aisyah agar jangan datang lagi ke rumahnya. Zahril menyalahkan Aisyah tentang sikap ayah dan ibunya yang dikatakan berubah selepas kehadiran Aisyah mengajar ibunya mengaji agama di rumah. Zahril sering bergaduh dengan Aisyah selepas tertekan akibat terlalu memikirkan Serena yang ditemani Andre di Budapest.

Mak Yan kecewa apabila Syazwan menganggap Nadihah sebagai adik sahaja. Zahril panik apabila menerima panggilan telefon Serena dengan nada yang cemas sebelum talian telefon terputus. Serena cuba melarikan diri daripada Andre selepas merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Datin dan Dato’ semakin menyenangi sikap dan peribadi Aisyah yang banyak membantu keluarga mereka.

Zahril yang memandu dalam keadaan mabuk telah terlanggar Aisyah menyebabkannya lumpuh separuh badan apabila kakinya tidak dapat bergerak. Zahril segera menuduh Aisyah mereka cerita untuk mendapatkan wang pampasan. Zahril terkejut apabila keluarganya tidak menghiraukannya lagi. Sementara itu, Andre memaksa Serena terlibat dalam kegiatan pelacuran yang didalangi olehnya.

Aisyah mula menjalani rawatan fisioterapi dan Zahril sering menjenguknya atas arahan Datin. Semasa di hospital, Zahril mula membantu Aisyah bergerak. Syazwan hairan apabila Aisyah tidak bercakap panjang dengannya. Nadihah menjadi jururawat diupah oleh Datin untuk menjaga Aisyah. Aisyah terkejut apabila tiba-tiba Datin melamarnya untuk Zahril. Datin mahu Zahril bertanggungjawab dengan apa yang berlaku pada Aisyah. Aisyah tidak bersetuju untuk berkahwin dengan Zahril dan masih memikirkan Syazwan.

Zahril cuba memujuk Aisyah agar berkahwin dengannya. Dia berjanji menjaga Aisyah sebaiknya. Akhirnya Aisyah bersetuju dan pernikahan dilangsungkan di hospital. Sebenarnya Zahril merancang untuk menceraikan Aisyah sebaik sahaja beliau sembuh. Datin mengharapkan agar Zahril berubah dengan perkahwinan bersama Aisyah. Datin dan Dato’ gembira apabila melihat Zahril mula berbaik dengan Aisyah dan kaki Aisyah telah pun sembuh.

Nadihah berkongsi kisah dengan Aisyah tentang perasaannya pada Syazwan dan begitu juga halnya dengan Aisyah tanpa mengetahui identiti sebenar lelaki yang dimaksudkan mereka. Datin terkejut apabila melihat Zahril membantu Aisyah di dapur dan beliau juga mula bersolat.

Syazwan yang pada mulanya setuju berkahwin dengan Nadihah berubah fikiran sebaik bertemu semula dengan Aisyah. Syazwan kembali mengharapkan cinta Aisyah walaupun beliau sudah menjadi isteri Zahril. Aisyah mahukan Syazwan melupakan dirinya. Zahril terkejut apabila melihat Aisyah bertemu dengan Syazwan dan fikirannya mula terganggu. Zahril bertekak dengan Aisyah mengenai sikap curang beliau di belakangnya. Aisyah cuba menerangkan keadaan sebenar namun tidak dipedulikan Zahril.

Aisyah mengambil keputusan mengajak Zahril ke Budapest untuk mencari Serena tetapi Zahril tidak bersetuju dan menuduh Aisyah merancang untuk berkahwin dengan Syazwan selepas berjaya bertemu dengan Serena. Akhirnya Zahril akur dan mereka ke Budapest dengan misi mencari Serena. Syazwan terkejut apabila mendapat berita daripada Ustaz Saleh bahawa Aisyah berada di Budapest bersama Zahril. Syazwan turut ke Budapest untuk membawa Aisyah pulang.

Hubungan Zahril dengan Aisyah terus dingin ketika mereka berada di Budapest. Zahril mengajak Aisyah pulang ke Malaysia namun tidak dipersetujui Aisyah yang tetap mahu mencari Serena. Nadihah berkongsi dengan Dato’ dan Datin tentang rancangan Syazwan untuk mencari Aisyah. Zahril terkejut dan kecewa apabila Aisyah akhirnya mengaku yang dirinya mencintai Syazwan. Pengakuan Aisyah jelas memberi tamparan buat dirinya dan beliau mula terasa kehilangan cinta Aisyah. Antara Zahril dan Syazwan, siapakah yang menjadi pilihan Aisyah?